Ini kisah kembara yang singkat. Sesingkat putaran seharian. Sesingkat tempoh matahari terbit dan terbenam.
Kembara yang bermula kerana ilmu dan berakhirnya juga dengan memperoleh ilmu.
Kembara yang membuat dia ceria dan tertawa. Kembara yang membuatku terbuka dan bersedia.
Pagi itu kabur, udara dipenuhi hablur yang menyesakkan. Jerebu sedang melanda. Hidung dan mulut terusan ditutupi topeng. Pandangan kami terus dilapisi pelindung. Pasrah, harus tabah menahan sakit dan resah.
Ketibaan di UMP agak lewat dari jangkaan. Malah temujanji bersama professor juga tiada sebenarnya. Namun, mungkin kerana niat musafir ini suci, segala urusan kami dipermudahkan. Alhamdulillah.
Beberapa jam masa dihabiskan di gudang ilmu ini. Berkesempatan bertemu beberapa orang pendidik. Mendapatkan sedikit kata-kata nasihat dan pandangan. Sungguh pendidik tidak akan pernah melepaskan tangunggungjawab sebagai guru walau pelajar itu sudah meninggalkan sekolah. Kerana pendidik itu ikhlas menyampaikan ilmu. Insya Allah, suatu hari nanti aku juga mahu memegang peranan itu. Mendidik anak bangsa. Mendidik saudara seagama. Menjadi pendorong generasi muda.
Selepas puas membawa sahabatku berjalan-jalan dan bergambar sekitar kampus, kami memulakan perjalan pulang. Sangat singkat masa dihabiskan di bumi Gambang. Rasa tidak puas. Sempat juga merancang untuk kembali.
Walau hanya seketika. Walaupun tidak seberapa, tetapi ilmu yang dikumpul tetap berharga. Terasa membuka minda. Telah melekat dalam kepala butir bicara pensyarah-pensyarahku. Insya Allah encik-encik. Insya Allah prof, andai diizinkan Nya saya akan menurunkan ilmu yang saya perolehi daripada kalian. Akan saya ajarkan kepada generasi akan datang apa yang telah saya pelajari daripada kalian. Agar kalian terus-terusan mendapat pahala daripadanya. Agar mendapat manfaat dan keberkatan setelah bersusah-susah menjadikan kami insan berguna. Amin.
No comments :
Post a Comment